Majlis Pelancaran Kanvas di MPH NU Sentral

Selain Majlis Previu Ekslusif Kanvas yang lalu, Deen Prints tidak terkecuali turut menganjurkan Majlis Pelancaran Kanvas yang bertempat di MPH Nu Sentral, 13 Februari yang lalu. Istimewanya, acara kali ini dirasmikan oleh Finalis Da’i Millenia Musim Ketiga, Da’i Hidayu. Selain kehadirannya, ia turut dimeriahkan dengan kedatangan saudara Aiman Khairul Azzam, aktivis dari Pertubuhan Aqsa Syarif sebagai moderator pada hari itu.

Ketika ditanya tentang inspirasi dalam menghasilkan Kanvas, Muharikah mengaitkannya dengan filem yang baharu ditontonnya, Bhajrangi Baijaan lakonan Salman Khan. Sebagaimana watak Bhajrangi yang berbuat kebaikan demi tuhannya, maka sebegitulah juga beliau sebagai Muslim, harus berbuat dan berusaha lebih demi mencapai redha Allah S.W.T.

Tambahnya lagi, “Rakyat di Malaysia kebanyakannya masih memilih bahan bacaan yang ringan. Malah, kuantiti bacaan masyarakat kita juga masih di tahap yang rendah. Jadi, saya mahu ‘menghidangkan’ kepada mereka bahan bacaan yang mereka mahu baca, sebagai motivasi dan galakan awal untuk terus minat membaca.”

Ini sangat bertepatan dengan isi kandungan Kanvas yang memuatkan koleksi kata-kata yang menggunakan bahasa yang mudah, ringkas, dan jelas. Tidak cukup dengan itu, Kanvas yang penuh dengan halaman warna-warni ini juga, ditulis sepenuhnya berdasarkan pengalaman peribadi. Maka, ia sudah tentu memberikan sentuhan emosi yang luar biasa kepada pembaca di luar sana.

 

Mungkin itulah yang dirasakan Da’i Hidayu, hingga beliau menyatakan dalam ucapan perasmiannya, “Sebaik menyelak halaman pertama buku ini, saya jatuh cinta!”. Mengulas dengan lebih lanjut, Da’i Hidayu turut menyebutkan bahawa buku ini ditulis dengan nilaian hikmah. Ada antara catatan di dalam Kanvas ini yang begitu dekat dengan realiti masyarakat hari ini, hinggakan penulisannya begitu terkesan di hati, bahkan mampu memberikan semangat dan inspirasi dalam menghadapi cabaran dan dugaan hidup. Antara yang paling mengesankannya ialah Contengan Hati ke-9 yang mengisahkan tentang pengalaman peribadi Muharikah sendiri, saat berdepan dengan kemelut kewangan.

Jika orang lain menggunakan suara atau fesyen sebagai medium dakwah, maka Muharikah menggunakan penanya untuk berdakwah. Demikianlah tertulis di dalam prolog buku ini, “Moga buku ini, walaupun ringkas, menjadi bekalan bacaan harian yang benar-benar memberi cahaya harapan buatmu!”

Saya, Umairah Shafei, melaporkan dari bilik berita Deen Prints :D

PS: Klik di sini untuk lihat lebih banyak gambar menarik sekitar program.

 

 

 


Umairah Shafei
Umairah Shafei

Author

Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Jurusan Bahasa Arab & Kesusateraan



Leave a comment

Comments will be approved before showing up.