Sepagi Bersama Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

Andrea Hirata dalam novelnya Padang Bulan, pernah mengungkapkan:

 

“Begitu banyak hidup orang berubah lantaran sebuah pertemuan. Disebabkan hal itu, umat Islam disarankan melihat banyak tempat dan bertemu dengan banyak orang supaya nasibnya berubah.”

 

Menyemangati pertemanan dengan ilmuwan, maka satu pertemuan telah dirancang. Pagi 14 Julai 2016, tim Deen Prints bersiap-siap dengan dua buah kereta menuju Khalifah Model School (Secondary) di Sepang. Tidak lain, niat kami hanyalah untuk bersilaturrahim dengan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, selain mendapatkan pesan nasihat sebelum beliau menyambung pengajian sarjananya di Finland.

 

Dengan profesion Ustaz sebagai seorang pendidik, bahkan berpengalaman sebagai seorang penulis, maka diskusi kami lebih terarah kepada dunia pendidikan dan penerbitan. Antara topik perbincangan termasuklah tentang trend bacaan anak muda hari ini. Menurut pemerhatiannya, Ustaz menyimpulkan bahawa ada dua jenis golongan pembaca. Pertama, pembaca yang memilih untuk membaca bahan ringan sahaja berbanding membaca bahan berat, lalu ilmu tidak dibudayakan. Kedua, pembaca yang membaca bahan berat. Namun, bersifat elitis dan eksklusif untuk golongannya sahaja. Di sinilah peranan bagi kita untuk menyederhanakan kedua-duanya demi menyuburkan budaya membaca dalam kalangan sesiapapun.

 

Terpana kami, saat Ustaz turut berkongsi keletah salah seorang peserta yang pernah mengikuti ceramahnya. Sesi ceramah itu diadakan di salah sebuah sekolah yang menempatkan pelajar-pelajar cemerlang. Usai ceramah, peserta tersebut menghampiri Ustaz dan beria-ria ingin bertanyakan soalan. Namun apa yang terkeluar di mulutnya cumalah, “Saya ada benda nak tanya ustaz. Tapi, saya tak tahu macam mana nak terangkan pada Ustaz.” Spontan, Ustaz bertanyakan dia semula, “Kamu suka membaca?” Jawabnya, “Tidak.” Ternyata, rupa-rupanya pelajar tersebut lebih gemar bermain permainan video. Walau bagaimanapun, ia sama sekali tidak menghalangnya untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM. Nah, itu bukanlah isunya. Namun, kurangnya pembacaan akan menyebabkan kurangnya kosa kata. Impaknya, ia menyukarkan kita untuk berfikir dan berpendapat. Lebih parah lagi, ia hingga menyebabkan kita tidak mampu menyatakan dan menghuraikan perasaan sendiri dengan kata-kata. Inilah antara isu yang melanda masyarakat hari ini.

 

Menurut Ustaz lagi, “Bahan bacaan yang bagus sepatutnya memberitahu pembaca, there’s something better to read than what you’re reading.” Ini bermakna, sesuatu buku itu dikatakan bagus jika ia berhasil membuatkan pembacanya untuk menggali atau mencari tahu lebih dari apa yang telah diperolehnya di dalam buku yang sedang dibacanya itu. Ini seterusnya akan melatih skil pembacaan kita. Andai seseorang bermula dengan bahan bacaan yang ringan, maka buku yang bagus akan mendorongnya untuk mencari bahan bacaan yang lebih berat pula.

 

Bercerita tentang kepesatan media sosial pula, tidak dinafikan ia adalah salah satu sumber penyebaran maklumat. Namun, Ustaz mengingatkan bahawa ia ada baik dan buruknya. Jika terlalu bergantung kepada media sosial tanpa pembacaan yang meluas, ia mungkin akan membuatkan kita menjadi taksub kepada pegangan, kepercayaan atau pandangan kita semata-mata. Ini kerana, ‘sistem’ media sosial secara umumnya mengarahkan kita kepada apa yang kita suka sahaja. Ia seolah-olah ‘memilih’ untuk kita bahan yang kita mahu atau cenderung kepadanya. Misalnya, Facebook. Tanpa sedar, apa-apa bahan, cadangan atau pop-up yang keluar, kebiasaannya muncul berdasarkan history, likes atau view kita sebelum itu.

 

Selaku penulis atau penerbit khususnya, Ustaz lebih menggalakkan kami untuk tidak hanya menerbitkan buku, tetapi turut mewacanakan ilmu. Aktiviti-aktiviti perbukuan harus dengan cara yang kreatif, untuk menggalakkan lebih ramai pembaca. Nah, yang paling penting kata Ustaz, "Apa-apa buku sekalipun, harus dikekalkan maruahnya sebagai buku hinggalah akhir zaman.”

 

 

Benar kata Andrea Hirata. Pertemuan malar ini ternyata menyegarkan. Sudut pandang kami mula mencapah. Semoga Ustaz terus sukses!

Terima kasih dan jazakallahhu khairan katheera, Ustaz.


Umairah Shafei
Umairah Shafei

Author

Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Jurusan Bahasa Arab & Kesusateraan



Leave a comment

Comments will be approved before showing up.