Terapi 'Handwriting'

Bagaimana Pagimu Okaylakayla
Perancangan Khalilah di minggu pertama bulan November dalam buku Bagaimana Pagimu terbitan Deen Prints. Padat!

Ya, November telah tiba! Bagaimana dengan hari-hari anda? Semakin sibuk? Sibuk dengan kerja tidak bermakna kita perlu terlepas daripada aktiviti bersama keluarga, rakan-rakan serta berkhidmat kepada masyarakat. Yang penting, bijak merancang!

Merancang? Guna pen dan kertas atau aplikasi di smartphone? Setiap orang pasti ada pilihan dan keselesaan masing-masing. Dalam artikel kali ini, seorang pensyarah Fakulti Seni Bina & Reka Bentuk Alam Sekitar berkongsi apa manfaat jurnal dalam hidupnya dan mengapa beliau lebih suka pen dan kertas! :) 

Deen Prints: Boleh kongsi apa kerjaya/bidang pendidikan yang diceburi Cik Khalilah?

Khalilah: Saya seorang Pensyarah di Kulliyyah of Architecture & Environmental Design, IIUM. Saya mengajar di dalam bidang Senibina Landskap (Landscape Architecture).

Deen Prints: Cik Khalilah boleh dikatakan mempunyai 'creative lifestyles' dan berkongsi aktiviti melalui #kaylascribbles. Boleh kongsi bagaimana menulis di dalam jurnal menjadikan kehidupan Cik Khalilah lebih bermakna?

Khalilah: Saya memang gemar menulis menggunakan tulisan tangan - 'handwriting'. Terutama sekali apabila mencatat nota daripada bahan bacaan saya, dan juga dari seminar/ceramah/diskusi yang saya hadiri. Saya juga gemar mencatat kata-kata yang menarik seperti kata-kata hikmah, motivasi, peringatan, atau apa-apa saja yang mencetus saya untuk berfikir, sebagai peringatan untuk diri saya sendiri. Saya dapati, dengan menulis menggunakan 'handwriting' saya sendiri, saya lebih faham dan akan lebih ingat apa yang dituliskan itu, berbanding kalau saya menaip di komputer.

Menulis membantu saya untuk mengimbas kembali 'thought process' saya sendiri, dan daripada itu, kadangkala boleh juga membuatkan saya berfikir tentang sesuatu topik daripada sudut-sudut yang berbeza.

Pada saya, menulis di dalam buku nota atau jurnal amat membantu saya untuk melihat atau 'visualize' apa yang saya fikirkan. Tambahan lagi, 'handwriting' seakan-akan satu terapi untuk saya kerana ia memberi satu aktiviti fizikal untuk jari, tangan dan minda.

Deen Prints: Antara mencatat di dalam aplikasi nota di smartphone atau buku jurnal, yang mana lebih menarik?

Khalilah: Saya lebih cenderung kepada mencatat di dalam buku nota kecil yang akan sentiasa saya bawa ke mana-mana. Saya juga ada menggunakan aplikasi kalendar dan nota di dalam telefon, tetapi kebiasaannya saya akan kembali kepada buku nota saya juga kerana ia lebih mudah dan cepat untuk saya lihat beberapa mukasurat dalam waktu yang singkat. Oleh sebab itu, saya akan melakar sendiri grid kalendar saya pada setiap buku nota baru saya. Saya lebih senang melihat kalendar dalam 'one-month' spread.

Saya juga lebih gemar buku nota yang kosong tanpa garis, ataupun buka nota yang mempunyai grid. Walau bagaimanapun, sekiranya saya tidak membawa buku nota saya, sudah pasti saya akan menaip idea-idea saya dan tarikh-tarikh penting di dalam smartphone. Saya rasa walau macam mana canggih pun teknologi kita, pen dan buku nota tak akan lapuk! :)

Iklan Kanvas

Deen Prints: Boleh kongsi projek menarik yang sedang Cik Khalilah usahakan/ akan laksanakan?

Khalilah: Saya memulakan hashtag #kaylascribbles sebagai dokumentasi handwriting saya, kerja saya dan 'thought process' saya. Pada mulanya, saya mencari sebuah projek mudah yang saya boleh buat secara konsisten secara santai.

Selepas membaca buku-buku Keri Smith dan Austin Kleon (antara penulis kreatif kegemaran saya), saya dapati mereka mengesyorkan untuk kita buat sahaja sesuatu yang kecil dengan konsisten, tak semestinya sesuatu yang 'grand' atau sempurna. Kemudian kongsikan pada orang awam tanpa rasa malu atau segan. Perlahan-perlahan, kita akan dapat lihat koleksi kerja kreatif kita, yang sebenarnya mencerminkan minat kita.

Daripada koleksi #kaylascribbles, saya mempunyai perancangan untuk mengumpulkan tema-tema yang tertentu. Contohnya seperti tips untuk pelajar penyelidikan dan kata-kata yang saya kumpulkan setakat ini yang telah memberi kesan positif pada saya. Ia mungkin juga boleh bermanfaat kepada orang lain. Impian saya adalah untuk mengeluarkan produk buku dan buku nota suatu hari nanti, seperti yang dipasarkan oleh Deen Prints, InshaAllah. 

Alhamdulillah, saya amat gembira apabila ada yang kata apa yang saya kongsikan dapat memberi inspirasi kepada mereka juga untuk berkongsi hasil 'handwriting' mereka! Dalam masa yang sama, saya juga berkongsi tempat-tempat yang saya lawati dengan hashtag #walkwalk sebagai rujukan saya sendiri di masa hadapan dan juga untuk dikongsikan kepada orang lain. InshaAllah perancangan terdekat adalah untuk mengemaskini kandungan untuk walkwalkplaces.com.

Deen Prints: Sekiranya ada yang berminat menyertai komuniti jurnal (journaling community), bagaimanakah caranya?

Khalilah: Saya sendiri tidak pernah terlibat secara langsung dengan komuniti jurnal. Apa yang saya lakukan selama ini adalah dengan merujuk dan 'follow' penulis, artis, pelukis, designers dan sesiapa sahaja yang berkongsi hasil kreatif jurnal mereka, yang menarik minat saya. Mungkin dengan menyertai komuniti secara online boleh menjadi langkah permulaan sebelum berkongsi kerja secara offline. Manalah tahu, satu hari nanti hasil-hasil kerja jurnal boleh dipamerkan!

Saya kongsikan mukasurat untuk minggu pertama November ya (di awal artikel). Maaf kerana lambat menggunakan buku Bagaimana Pagimu sebab buku nota yang saya gunakan sekarang masih belum habis lagi mukasuratnya, dan buku-buku nota lain kena tunggu 'turn' :)

Regards,
Khalilah Zakariya @okaylakayla

Admin Deen Prints
Admin Deen Prints

Author



Leave a comment

Comments will be approved before showing up.